Wednesday, November 18, 2009

Kejor la Yeop...



Saya bukan orang Perak. Tidak pernah menetap di Perak. Mungkin juga, tidak akan menjadi orang Perak, atas faktor bakal orang rumah bukan orang Perak. Namun jujur saya katakan, saya pernah ada sedikit berkira-kira untuk berkhidmat dalam arena papan hitam dan kapur di Negeri Darul Ridzuan suatu hari nanti, selepas pilihan utama Darul Ehsan, Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang. Tidak mengapa soal itu letak ditepi dahulu untuk tempoh dua tahun yang akan datang.

Berbalik kepada cerita negeri Perak dan saya, jelas faktor-faktor yang membuktikan betapa tiada kaitanya saya dengan negeri Perak menjadikan saya bukan penyokong pasukan Perak. Ini adalah berkait rapat dengan fahaman yang lazimnya diguna pakai dalam bola sepak Malaysia yang berteraskan semangat kenegerian yang amat taksub. Apa boleh buat. Namun untuk posting yang agak menyedihkan kali ini bagi saya, izinkan saya menyibuk dalam hal orang-orang Perak.

Dari cerita orang-orang Perak yang saya dengar, Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kini sedang mengalami krisis dalaman yang agak serius. Pecat sana pecat sini, mintak letak jawatan sana mintak letak jawatan sini, tempelak sana tempelak sini dan macam-macam lagilah tindakan yang mencerminkan tahap pro nya Liga Malaysia di tampilkan dalam krisis ini. Seriusnya krisis ini, habis ahli politik yang berbeza kiblat 'pening kepala' memikirkan 'penyelesaian' kepada masalah yang melanda ini.

Seriusnya krisis ini juga mungkin mengakibatkan Perak tidak dapat beraksi untuk Liga Super musim hadapan. Ianya amat-amat tidak membantu dalam perkembangan Liga Malaysia musim depan yang sudah pun mempunyai sekurang-kurangya 2 pasukan yang bakal menarik diri. Sendirilah baca di sini dan sini.

Poster promo diatas adalah dirujuk. Kata kunci, 'KUTIPAN DANA'. Satu poster dengan kata sifat 'IKHLAS' manakala yang lagi satu menampilkan 'RM1' dan juga bendera Bulan sebagai daya penarik. Persamaan bagi kedua-dua poster terletak kepada tujuan poster tersebut; bertujuan mengutip dana, atau dalam bahasa mudahya, mintak derma. Dan mengikut kefahaman saya, tujuan derma/dana dikutip atau diminta adalah kerana pihak yang meminta derma ketiadaan duit dan memerlukan sedikit duit bagi menjalankan sekian sekian aktiviti.

Persoalan yang bermain dibenak hati daku adalah seperti berikut, tidak mengikut turutan kebenakan soalan yang bermain, benarkah PAFA ketiadaan duit yang sebegini rupa?Bagaimana masalah ketiadaan duit ini boleh timbul? dan yang lagi berat, mampukah kempen RM 1 membantu PAFA dalam menyelesaikan masalah kewangan mereka? dan sampai bilakah persatuan-persatuan bola sepak di Malaysia ini akan terus mengemis untuk memulihkan kembali kewangan mereka?

Untuk krisis kali ini, mungkin derma kilat adalah penyelesaian yang terbaik dan praktikal setakat yang boleh PAFA lakukan dan juga saya fikirkan. Tapi bagi masa-masa yang akan datang (amat-amat berharap masalah ini tidak akan berlaku lagi lah) saya harap PAFA mampu menjana kewangan mereka sendiri. Cuba-cubalah belajar bagaimana kelab-kelab bola sepak di rantau asia tenggara ini menjana kewangan mereka.

Saya sudah pernah menyentuh mengenai merchandising atau dalam bahasa ibunda saya, jualan cenderamata, cenderahati dan cenderahidung barangan-barangan kelab yang beraksi dalam Thailand Premier League. Lihat sini kalau anda terlepas baca.

Kini yang terbaru, mungkin PAFA, malah semua persatuan bola sepak se-malaya boleh belajar bagaimana kelab-kelab Djarum Indonesia Super League pula menjana kewangan pasukan mereka menerusi merchandising . Kelab-kelab Indonesia seperti yang sering diwar-warkan, bukanlah kaya sangat seperti kelab-kelab di Singapura apatah lagi kelab-kelab Liga Inggeris. Mereka pun agak tenat kewanganya seperti pasukan-pasukan Liga Malaysia. Tapi yang membezakan yang bodoh sombong dan pandai berdikari adalah cara bagaimana mereka menjana kewangan mereka.

Sejak subsidi kerajaan kepada kelab-kelab bola sepak Indonesia dimansuhkan, tampak kelab-kelab bola sepak Indonesia semakin berani berdiri di atas kaki sendiri. Sebagai contoh, kelab yang besar pengaruhnya terhadap ULTRAS MALAYA, Arema Malang, mempunyai Online Store mereka sendiri yang menjual beraneka jenis barangan kelab. Menurut website mereka jersey rasmi pasukan dijual sekitar RP 90, 000 iaitu kira-kira RM 33. Kiralah sendiri berapa RM1 yang dapat dijana dengan penjualan barangan kelab berbanding derma RM1 yang dilancarkan PAFA.

Sampai bilakah kita mahu mengemis mengharap ehsan orang ramai sedangkan kita mempunyai banyak cara lain lagi yang lebih professional untuk menjana kewangan pasukan?Terfikirkah orang-orang besar dalam persatuan bola sepak negeri mengenai jualan barangan pasukan secara cetak rompak oleh peniaga-peniaga kecil diluar stadium setiap hari Sabtu?Mengapa tidak adakan satu usahasama yang mampu menguntungkan kedua belah pihak?Tidak mahu mengulas lebih lanjut, bagi peluang kepada orang-orang besar persatuan -persatuan bola sepak se-Malaya yang bergaji besar untuk memikirkan perkara besar selepas ini (orang putih cakap The Next Big Thing) yang mampu menyelamatkan pasukan mereka.




6 comments:

meyour said...

AFIQ, terima kasih!!!!

aFiQ said...

Sama-sama Meyour..tp terima kasih sbb aperkah?~

meyour said...

iklan kan pasa tabung PAFA ni...
inisiatif yang bagus dari seorang Malyasia........

Teman oghang peghak lerr..heheh

aFiQ said...

Oh yer ker..haha..x tau plak..taderhal la yeop~!hehe..

dausz said...

thanks bro,

bagi teman ini adalah amaran kepada semua persatuan bolasepak di malaysia, xtertakluk pada PAFA saja.

Kalo kita lihat sekarang, byk persatuan bolasepak di malaysia ni bior jer lambang mereka dicetak rompak termasuk FAM sendiri.. jadi,

mungkin bleh wat 1 akta mengenai penjualan merchandise ni supaya keuntungannya turut dirasai persatuan sendiri supaya pasukan tidak kering sumber kewangan..

aFiQ said...

Yep itulah yg sepatutnya pun bro dausz yang semua FA kt Malaysia ni patut buat..klo nk harapkan kutipan tiket semata-mata, Manchester United pun saket~

Inikan pulak pasukan Liga M yang penontonya pulak berapa kerat la sangat yang datang ke stadium..

selain dari kutipan tiket, FA selalu harapkan budget dari menteri besar..kena pulak yg mcm PAFA sekarang menteri besar dan Presiden PAFA x baper nk 'ngam', mmg menjadi jadi la msalah kewangan

Kalau kelab ada income lain; dalam cerita ni, menerusi jualan barangan kelab, mungkin masalah kewangan ni tidak membebankan sangat.

Harap bro dausz kalau kenal siapa2 orang kuat Yob4ever bwak2 lah berbincang pasal idea jualan barangan Perak FA secara rasmi..kalau boleh, bwak trus ke DS Nizar terus~

Semoga Berjaya Yob4ever dan PAFA~!